JERLUN: UMNO Kedah meletakkan sasaran untuk menang di lapan kerusi Parlimen di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk dua kerusi yang disandang ketika ini iaitu Baling dan Padang Terap.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Othman Aziz menyatakan kerusi-kerusi yang disasarkan itu adalah melibatkan kawasan Parlimen luar bandar dan pinggir bandar yang memiliki majoriti pengundi Melayu.

"Saya rasa UMNO ini sebenarnya tulangnya (adalah) di (kawasan Parlimen) luar bandar, jadi saya boleh sebutlah bahawa kerusi-kerusi (yang disasarkan) ini adalah kerusi-kerusi luar bandar dan pinggir bandar, jadi kerusi dalam bandar ni selalunya kita serahkan kepada komponen macam MCA (dan) MIC dan sebagainya tetapi yang kita buat sasaran lapan ini adalah kawasan-kawasan luar bandar yang mempunyai majoriti pengundi-pengundi Melayu,

"Kita harap kita dapat tingkatkanlah melalui kerjasama, kerja kuat dengan rakan-rakan komponen, mungkin kita ada juga peluang, (untuk Barisan Nasional tambah) satu (atau) dua kerusi lagi terutama kerusi dalam bandar seperti bandar Alor Setar dan juga mungkin Padang Serai, kita ada peluang untuk kita dapat (semula) kali ini, termasuk (di) Jerlun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Dewan Kuala Kerpan, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Othman menyatakan bahawa calon-calon Barisan Nasional (BN) negeri yang akan ditampilkan parti itu dalam PRU15 adalah calon yang berkemampuan dalam menguruskan 'hati manusia', memahami keluh kesah rakyat dan sentiasa bersama dengan mereka.

Perkara itu menurutnya akan menjadi kekuatan utama yang akan ditampilkan BN bagi memenangi lebih banyak kerusi di Kedah tanpa mengira siapa lawan dan saingan yang akan ditempuh dalam PRU15.

Pada Ahad, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa parti itu menyasarkan lebih daripada dua kerusi Parlimen di Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kerusi yang disasarkan tidak didedahkan dan menyatakan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.